Skip to main content
Tips Penjagaan Rambut

Mengapa lelaki lebih berisiko botak?

By 16 Ogos 2022No Comments

Alamak dah mula botak!! TIDAK!!

Masalah itu boleh terjadi pada lelaki dan wanita. Masing-masing mungkin mengalami masalah rambut botak, tetapi masalah ini lebih sinonim dikaitkan dengan kaum lelaki. Jangan terkejut, masalah rambut gugur lelaki boleh jadi lebih kritikal berbanding wanita tau. Wanita boleh menyembunyikan masalah rambut botak mereka yang lazimnya mengalami penipisan rambut, tetapi lelaki tidak dapat menyembunyikan masalah itu (botak).

Terdapat beberapa faktor lain mengapa lelaki lebih kerap mengalami rambut botak. Apakah punca rambut lelaki gugur, ya?

Alopesia androgenik lebih biasa berlaku pada lelaki

Keguguran rambut kekal menjejaskan 70 peratus lelaki dan 40 peratus wanita dalam jangka hayat mereka. Terdapat beberapa sebab akibat perbezaan besar ini.

Pada asasnya lelaki lebih terdedah kepada keadaan yang dikenali sebagai alopesia androgenik. Ini adalah keadaan genetik yang diwarisi, yang meningkatkan aktiviti reseptor androgen di folikel rambut. Reseptor-reseptor ini bertindak balas terhadap androgen seperti dihydrotestosterone (DHT), hasil sampingan dari testosteron yang mengecutkan folikel rambut dan menjadikannya sukar bagi mereka untuk hidup.

DHT merupakan hormon yang berasal daripada testosteron. Kerana testosteron dalam lelaki sentiasa membuat DHT, ia menjadikan mereka lebih cenderung mengalami keguguran rambut daripada wanita. Secara amnya, kedua-dua lelaki dan wanita mempunyai hormon tersebut tetapi jumlahnya lebih tinggi pada lelaki.

Hormon DHT mempunyai kepentingan kepada lelaki memandangkan ia adalah komponen utama dalam membentuk ciri-ciri fizikal dan seksual lelaki setelah akil baligh.

Antaranya adalah:

  1. Suara garau.
  2. Perubahan pada corak penyimpanan lemak di seluruh badan.
  3. Komposisi otot badan.

Apabila meningkat usia lelaki, semakin pentinglah peranan hormon DHT dan testosteron dalam mengekalkan komposisi otot dan menggalakkan tahap kesihatan seksual yang optimum.

Walau bagaimanapun, DHT tidak begitu mesra dengan folikel rambut terutamanya yang berada di atas kepala. Ia boleh menyebabkan perubahan fisiologi sehingga berlaku masalah keguguran rambut dan kebotakan.

 

Kehilangan rambut pada lelaki lebih ketara

Apabila lelaki kehilangan rambut mereka, mereka cenderung kehilangan lebih banyak rambut dalam tempoh yang singkat berbanding wanita.

Dari segi corak keguguran rambut pula, lelaki lebih jelas kelihatan berbanding wanita. Ada yang kehilangan rambut bermula dari garis hadapan ke belakang; kitaran pusaran (dibahagian belakang sahaja); bahagian tengah atas kulit kepala (paling menonjol pada lelaki Asia) tertentu pada rambut sedangkan wanita mengalami penipisan rambut yang menyeluruh.

Sedangkan wanita pula, bahagian belakang rambut jarang terkesan dan mengalami penipisan rambut yang menyeluruh.

Hubungan antara masalah kebotakan dan peningkatan pada hormon DHT

Dianggarkan kira-kira 10 peratus testosteron akan ditukarkan kepada hormon DHT dengan bantuan enzim 5-alpha reductase (5-AR). Apabila ia masuk ke dalam aliran darah, ia boleh berhubung dengan reseptor yang terletak pada folikel rambut sehingga menyebabkan perubahan patologi pada struktur tersebut.

Rambut pada seluruh badan manusia tumbuh melalui struktur di bawah kulit yang menyerupai kapsul. Ia dikenali sebagai folikel rambut. Secara amnya, rambut di dalam satu folikel akan mengalami proses tumbesaran selama 2 hingga 6 tahun.

Ini bermakna, tidak kiralah jika anda cukur sekalipun, ia akan tetap memanjang sehingga sampai ke fasa rehat. Setelah rambut masuk ke dalam fasa rehat, ia tidak akan tumbuh lagi dan gugur beberapa bulan kemudian. Folikel rambut kemudiannya akan menghasilkan rambut baharu dan kitaran tersebut bermula semula.

Pun begitu, hormon DHT boleh mengganggu kestabilan proses fisiologi seperti yang dinyatakan. Ia berupaya untuk mengecutkan struktur folikel menyebabkan rambut yang tumbuh kelihatan lebih nipis dan rapuh akibat kekurangan nutrien. Apa yang lebih teruk lagi adalah hormon DHT boleh menyebabkan proses rambut baharu tumbuh berlaku pada kadar yang sangat perlahan setelah rambut lain gugur.

 

Kenapa ada lelaki yang mudah botak, dan ada lelaki tak botak?

Bukan semua individu akan mengalami kebotakan akibat daripada kesan sampingan hormon DHT. Jika dilihat pada individu tua, ada yang masih berambut tebal dan ada juga yang berambut nipis. Oleh sebab fenomena ini berlaku berpunca daripada masalah genetik, prosesnya sukar untuk dihalang dan hanya boleh dikawal melalui penggunaan ubat.

Pun begitu, jangan anggap semua masalah kebotakan adalah disebabkan oleh genetik. Ada juga penyakit yang boleh menyebabkan anda mengalami keguguran dan masalah kebotakan.

Dalam kes sebegitu, rawatan terhadap penyakit yang dialami boleh membantu memulihkan pertumbuhan rambut meskipun dalam situasi tertentu, masalah tersebut tidak boleh dirawat.

Antara masalah kesihatan yang boleh menyebabkan keguguran rambut adalah:

  1. Masalah tiroid.
  2. Penyakit celiac.
  3. Jangkitan pada kulit kepala.
  4. Penyakit autoimun (lichen planus, alopecia areata).

 

Mencegah keguguran rambut

Walaupun sesetengah lelaki cenderung kehilangan lebih banyak rambut daripada yang lain, ada beberapa perkara yang boleh anda lakukan untuk melambatkannya. Salah satu cara adalah untuk mengelakkan keradangan folikel rambut. Ini bermakna tidak mewarnakan rambut dan mengenakan haba berlebihan.

Anda juga boleh membantu pertumbuhan rambut yang baik dengan memakan makanan yang sihat dan seimbang. Pastikan anda mendapat banyak zat besi, zink, Vitamin D, protein dan omega-3 asid lemak daripada makanan anda.

Jika anda telah pun mengalami masalah rambut botak, kini terdapat pilihan rawatan seperti ubat preskripsi dan pembedahan rambut.

Ingin lebih banyak informasi mengenai penjagaan rambut/ Sertai kami di https://t.me/faithfleurlover